Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Program Derma Darah KKPB Bantu Tambah Bekalan Darah HTAA

By 15 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farah Shaherza (Kuantan) KKPB

KUANTAN, 4 Julai (MalaysiaAktif) – Program Derma Darah anjuran Kolej Komuniti Paya Besar (KKPB) dengan kerjasama Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), berjaya memperoleh 27 penderma darah yang layak daripada 43 bakal penderma yang menyertai program berkenaan di Dewan Ibnu Qayyim KKPB, di sini, kelmarin.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Perubatan Transfusi HTAA, Saiful Azly Ramali berkata hasil saringan kesihatan yang dijalankan, seramai 27 peserta didapati layak untuk menderma darah.

Tambahnya, peserta yang hadir terdiri daripada kakitangan dan pelajar KKPB, pekerja pembersihan, pengawal keselamatan serta komuniti sekitar Paya Besar dan Panching, sekali gus mencerminkan komitmen pelbagai lapisan masyarakat dalam menyokong usaha menyelamatkan nyawa.

“Amalan menderma darah merupakan satu tanggungjawab sosial yang mampu menyelamatkan nyawa.

“Budaya menderma darah perlu terus dipupuk dalam kalangan masyarakat bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit,” katanya.

Sementara itu, seorang penderma, Ahmad Muaz Zakaria, 35, meluahkan rasa teruja apabila berpeluang menderma darah buat kali pertama kerana lokasi program yang berhampiran dengan tempat kerjanya.

“Ini kali pertama saya menderma darah. Saya sangat teruja kerana program ini diadakan berdekatan dengan pejabat. Prosesnya mudah dan saya berharap lebih ramai tampil menderma kerana ia tidak mengambil masa yang lama tetapi memberi manfaat yang besar kepada orang lain,” ujarnya.

Program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah, di samping melahirkan lebih ramai penderma tetap demi memastikan bekalan darah negara sentiasa berada pada tahap mencukupi.

-AA-

Tinggalkan komen anda