
Laporan/foto: Khairul Othman (Negeri Sembilan)/Media MBNS
SEREMBAN, 6 Jul (MalaysiAktif) – Sektor pertanian terus diiktiraf sebagai pemacu utama ekonomi negeri serta tonggak kepada kelangsungan jaminan keselamatan makanan negara.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, sebagai bukti kesungguhan Kerajaan Negeri, Jabatan Pertanian Negeri Sembilan menerima peruntukan sebanyak RM5.4 juta pada tahun 2025 yang telah dimanfaatkan oleh 769 penerima insentif dalam pelbagai kategori pembangunan pertanian.
“Ini bukan sekadar angka. Ini merupakan pelaburan kerajaan bagi membina sebuah ekosistem pertanian yang lebih moden, produktif dan mampu menjamin bekalan makanan negeri untuk jangka masa panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Agro Festival (AGROFEST) Peringkat Daerah Seremban 2026 anjuran Jabatan Pertanian Negeri Sembilan, di sini semalam.

Aminuddin (tengah) bergambar kenangan bersama para penerima insentif dan usahawan tani.
Aminuddin menyifatkan program berkenaan sebagai platform strategik serampang dua mata yang bukan sahaja mempromosikan pasaran tempatan, malah membantu pengusaha tani meneroka teknologi baharu.
Mengulas lanjut mengenai potensi penggiat industri agromakanan, beliau meluahkan rasa bangga dengan komitmen yang dipamerkan oleh golongan tersebut dan membuktikan bahawa sektor pertanian terus mempunyai potensi besar sebagai pemacu ekonomi.
“Alhamdulillah, penganjuran AGROFEST menjadi platform yang amat baik dalam mempromosikan hasil pertanian tempatan, memperkenalkan teknologi dan inovasi pertanian terkini serta membuka lebih banyak peluang kepada para usahawan dan pengusaha agromakanan untuk mengembangkan perusahaan mereka.
“Semoga program seperti ini terus menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pertanian yang lebih moden, berdaya saing dan mampan, sekali gus meningkatkan pendapatan para petani serta menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meluangkan masa menyantuni rakyat dengan melawat reruai pameran serta beramah mesra dengan para usahawan, petani dan pengunjung yang hadir memeriahkan program tersebut.
-RI




