
Laporan/foto: Lyana Athirah/Ismail Hassan (Kota Setar)
ALOR SETAR, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Masyarakat disaran mengambil langkah pencegahan awal bagi mengekang penularan demam denggi dengan memastikan kawasan kediaman bebas daripada air bertakung yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Menurut Pegawai Perubatan Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar Dr. Nur Hazamii Abd. Hamid usaha membanteras denggi perlu digerakkan secara proaktif bermula dari rumah kerana pencegahan awal merupakan langkah paling berkesan untuk memutuskan kitaran pembiakan nyamuk Aedes sebelum ia mengancam kesihatan masyarakat.
“Tindakan paling berkesan adalah dengan melakukan spot check secara berkala untuk mengelakkan air bertakung terutamanya pada alas pasu bunga, selain memastikan bekas simpanan air sentiasa ditutup dengan rapat,” katanya ketika menyampaikan taklimat denggi di Kampung Hujung Alor, Alor Merah, di sini kelmarin.

Penduduk mengambil peluang mendalami ilmu pencegahan pembiakan nyamuk Aedes .
Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti mengenai tanggungjawab bersama dalam mencegah penularan denggi melalui amalan menjaga kebersihan persekitaran dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.
“Penduduk diingatkan supaya mendapatkan rawatan perubatan dengan segera sekiranya mengalami simptom seperti demam berpanjangan, sakit badan atau tanda-tanda lain yang disyaki berkaitan denggi,” katanya.
Usaha berterusan serta kerjasama semua lapisan masyarakat dalam mengamalkan langkah pencegahan diyakini mampu mengurangkan risiko penularan demam denggi sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan selamat untuk didiami.
-RI




