
Laporan/foto: Saberiya Patiroi/Razaidi Kulan/Junaidi Wahab (Beaufort)
BEAUFORT, 6 Jul (MalaysiaAktif)– Program Wacana Pemikir manifestasi bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu global yang memberi kesan kepada negara di samping memperkukuh budaya berfikir secara kritis, analitikal dan berasaskan fakta.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata masyarakat tidak boleh sekadar menjadi pemerhati kepada arus perubahan sebaliknya tampil sebagai masyarakat yang berilmu.
Jelasnya, masyarakat kini juga perlu untuk berdaya tahan dan mampu membuat keputusan yang bijaksana berasaskan fakta, nilai serta bijak dalam membuat pertimbangan yang seimbang.
“Penganjuran ini mencerminkan kesedaran tentang masa depan yang lebih baik tidak dibina melalui retorik semata-mata tetapi melalui ilmu pengetahuan, pemikiran yang kritis dan tindakan yang berasaskan hikmah.
“Islam sendiri mengangkat kedudukan ilmu dan budaya berfikir pada martabat yang sangat tinggi. Al-Quran berkali-kali menyeru manusia agar bertafakur, bertadabbur dan mengambil iktibar daripada setiap peristiwa yang berlaku.
“Justeru, saya berharap segala perbincangan yang berlangsung sepanjang program ini tidak terhenti di sini tetapi diterjemahkan dalam bentuk tindakan, kepimpinan dan sumbangan yang membawa manfaat kepada agama, bangsa, negeri dan negara,” ujarnya ketika berucap merasmikan Program Wacana Pemikir Peringkat Zon Pedalaman Bawah di Dewan Pa’ Musa, semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan menjelaskan dengan kekuatan ilmu, kebijaksanaan dan kesatuan, rakyat Sabah khususnya masyarakat di kawasan pedalaman bawah akan terus mampu mendepani apa jua cabaran global yang mendatang.
“Masa depan Sabah tidak ditentukan oleh apa yang berlaku di pentas dunia, tetapi sejauh mana kita bersedia memahami perubahan dunia dan bertindak dengan ilmu, hikmah serta kesatuan. Sabah Maju Jaya bukan sekadar slogan tetapi tekad bersama yang mesti diterjemahkan melalui tindakan,” ujarnya.
Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad percaya kekuatan ummah pada masa depan tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal dan ekonomi semata-mata tetapi turut bergantung kepada kekuatan ilmu, pemikiran, nilai dan akhlak.
“Kita berkumpul di sini untuk membentuk masyarakat yang mampu berfikir secara kritis, bertindak secara rasional dan membuat keputusan secara bijaksana.
“Kita mungkin tidak mampu mengubah percaturan geopolitik dunia, menghentikan persaingan kuasa-kuasa besar dan memperlahankan kemaraan teknologi AI yang sedang mengubah dunia.
“Namun, kita mampu mempersiapkan rakyat dengan ilmu, memperkukuh perpaduan masyarakat dan memastikan teknologi dipandu oleh nilai, akhlak dan hikmah agar kemajuan yang dicapai tidak mengorbankan kemanusiaan,” ujarnya.
Program berkenaan antaranya diisi dengan Wacana Cinta Negara dari Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Datin Shonitah Terang, Pidato Khas dan Forum Pemikir bertajuk Kelangsungan Industri Kecil Dalam Cabaran Ekonomi Global.
-RJ-






