
Laporan/foto: Salleh Immun/Farihan Razali (Mukah)
MUKAH, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Abang Ahmad Abang Mantali, 45, dan Ala’a Ahmad Sayuti, 24, muncul Johan kategori Qari dan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Mukah 1448H/2026M di Surau Darul Hijrah, Skim Penempatan Semula (SPS) Kuala Lama, kelmarin.
Kejayaan itu melayakkan kedua-dua pemenang membawa pulang wang tunai RM700, plak, sijil penghargaan serta hadiah sumbangan daripada Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Mukah dan Bank Rakyat Cawangan Mukah.

Johan Kategori Qariah Ala’a Ahmad Sayuti (tengah) diraikan bersama barisan pemenang lain sempena Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Mukah 1448H/2026M di Surau Darul Hijrah.
Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip berkata komitmen semua pihak membuktikan program keagamaan seumpama itu mampu dilaksanakan dengan berkesan serta memberi impak positif kepada masyarakat dalam meningkatkan penghayatan terhadap al-Quran.
“Kerjasama erat antara agensi kerajaan, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) SPS Kuala Lama, Jawatankuasa Pengurusan Surau Darul Hijrah serta penduduk setempat menjadi faktor utama kejayaan penganjuran majlis berkenaan,” katanya ketika menutup rasmi majlis tersebut bagi mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine.
Menurut Peleadzman, penganjuran secara berterusan akan menjadi medan melahirkan lebih ramai qari dan qariah berpotensi dari Daerah Mukah, sekali gus menyemarakkan syiar Islam serta membuka peluang bersaing di peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, Ketua Hakim Norazman Abdullah berkata tahap persembahan peserta tahun ini menunjukkan peningkatan memberangsangkan daripada aspek bacaan, penguasaan tajwid dan penyampaian lagu.
“Mutu persembahan peserta kali ini amat membanggakan. Peningkatan yang jelas dalam aspek bacaan, tajwid dan lagu mencerminkan kesungguhan mereka membuat persediaan sebelum menyertai pertandingan,” jelas Norazman.
Beliau turut mengingatkan para peserta supaya terus memperbanyak latihan dengan memberi penekanan kepada aspek tajwid dan lagu sebagai komponen penting dalam penilaian pertandingan.
Bagi kategori Qari, Naib Johan disandang oleh Sharizal Musa, 38, manakala Siti Nurfanisa Samsudin, 22, muncul Naib Johan kategori Qariah dengan kedua-duanya menerima wang tunai RM500 berserta plak, sijil penghargaan dan hadiah iringan.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh Mohamada Sait Bom, 66, bagi kategori Qari dan Meryam Bol, 57, bagi kategori Qariah dengan masing-masing menerima wang tunai RM300 selain plak, sijil penghargaan dan hadiah sumbangan penaja.
-RJ-




