
Laporan/foto: Muhammad Fakhri Md Nor (Alor Gajah)
ALOR GAJAH, 7 Jul (MalaysiaAktif) – Majlis Pecah Tanah Pembangunan Perlabuhan Darat Melaka (Melaka Inland Port) menjadi permulaan kepada pembangunan infrastruktur strategik yang diyakini mampu menjadi pemangkin kepada transformasi sektor logistik serta pertumbuhan ekonomi mampan negeri Melaka.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata pembangunan Melaka Inland Port merupakan inisiatif strategik kerajaan negeri bagi memperkukuh ekosistem logistik, sekali gus meningkatkan daya saing Melaka sebagai hab perdagangan dan pengangkutan di rantau ini.

Ucapan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri Melaka.
“Projek berimpak tinggi itu bukan sahaja bakal memperkasakan sektor logistik negeri, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran kepada golongan belia dan anak muda, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya ketika berucap di majlis tersebut di Tapak Tanah Taboh Naning, di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau itu berkata pembangunan tersebut akan mengintegrasikan mod pengangkutan rel sebagai alternatif kepada pengangkutan jalan raya.
“Langkah ini dijangka mampu mengurangkan kebergantungan terhadap lori dan kontena, di samping meningkatkan kecekapan penghantaran barangan serta mengatasi isu kesesakan lalu lintas yang semakin mencabar,” katanya.
Projek bernilai RM300 juta yang fasa pertamanya dijangka siap pada 2027, menyasarkan Nilai Pelaburan Kasar (GDV) sebanyak RM540 juta apabila beroperasi sepenuhnya.
-RI




