
Laporan/foto: Abg Hairman Abg Fauzi (Samarahan)
KOTA SAMARAHAN, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Festival Makanan dan Kebudayaan Samarahan (SFCF) terus menjadi platform mempromosikan kepelbagaian budaya, warisan kulinari serta produk tempatan bagi merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi di bahagian ini.
Penganjuran kali kelima bertema ‘Meraikan Warisan dan Rasa’ itu berlangsung selama 10 hari bermula 26 Jun hingga 5 Julai lepas di Tapak Pasar Tamu Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Taman Desa Ilmu.
Festival tersebut menghimpunkan pelbagai pengusaha makanan, usahawan tempatan serta penggiat seni dengan menawarkan tarikan seperti gerai makanan, persembahan kebudayaan, pertandingan nyanyian, persembahan artis, autoshow dan sukan komuniti.
Peniaga Nasiben Khan, 62, berkata festival itu membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk berasaskan warisan, sekali gus menambah pendapatan mereka.
“Festival seperti ini memberi ruang kepada masyarakat, khususnya usahawan kecil dan belia, memperkenalkan produk tradisional seperti makanan etnik dan kraftangan kepada lebih ramai pengunjung, sekali gus membantu meningkatkan jualan,” katanya ketika ditemui, kelmarin.
Sementara itu, pengunjung Rosselan Gelen, 55, berpendapat SFCF berpotensi menjadi acara pelancongan tahunan yang mampu menarik kehadiran lebih ramai pelawat ke daerah ini.
“Sebagai kawasan yang berkembang pesat dalam sektor pendidikan, pertanian, kesihatan dan industri makanan, penganjuran festival ini dapat menyokong pertumbuhan ekonomi setempat di samping memperkenalkan keunikan budaya masyarakat Sarawak kepada pelawat,” jelasnya.
Selain menjadi medan promosi, festival berkenaan turut berperanan mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum melalui penglibatan komuniti, sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan dan penghargaan terhadap warisan budaya negeri.
-RJ-




