Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Sarawak Perluas Kebajikan Penggiat Seni, Artis Veteran

By 13 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aidawatie Mustafa (Miri)

MIRI, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Kerajaan Sarawak bersedia memperluaskan program kebajikan bagi membantu penggiat seni, khususnya artis veteran yang berdepan cabaran kehidupan selepas tidak lagi aktif dalam industri.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian.

“Usaha seperti ini membantu artis yang berdepan kesukaran hidup dan kementerian akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menyokong penganjuran program kebajikan seumpamanya di lebih banyak kawasan di Sarawak,” katanya ketika menghadiri Majlis Makan Malam Amal Legend Karyawan di sini, kelmarin.

Menurut Abdul Karim, industri hiburan mempunyai cabaran tersendiri apabila sebahagian artis berdepan kesukaran menjana pendapatan selepas tidak lagi menerima tawaran persembahan, malah pengalaman semasa pandemik COVID-19 membuktikan ramai yang berhadapan tekanan kewangan.

Beliau turut menyambut baik penganjuran konsert amal berkenaan dan merakamkan penghargaan kepada Persatuan Karyawan Malaysia kerana memilih Sarawak sebagai lokasi pertama program tersebut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia Datuk Freddie Fernandez berkata, kejayaan penganjuran konsert itu menjadi pemangkin kepada usaha memperluaskan program kebajikan dan konsert amal di negeri ini.

“Ini merupakan program pertama kami di Sarawak dan sambutan yang diterima amat menggalakkan. Sokongan Kerajaan Sarawak memberikan keyakinan kepada kami untuk meneruskan lebih banyak program kebajikan pada masa akan datang,” ujarnya.

Pengerusi Penganjur Konsert Datuk Khadijah Ibrahim pula berkata, sambutan luar biasa masyarakat di Miri membuktikan Sarawak mempunyai potensi besar sebagai lokasi penganjuran program seni dan konsert berskala besar pada masa hadapan.

Konsert Amal Legend Karyawan menghimpunkan artis legenda tanah air seperti Datuk Zainal Abidin, Datuk Ramli Sarip, Datuk Jamal Abdillah, Nursheila Amin dan Khadijah, sekali gus mengeratkan kerjasama kedua-dua pihak dalam memperkasakan industri kreatif serta menjaga kebajikan penggiat seni.

-RJ-

Tinggalkan komen anda