
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)
SHAH ALAM, 7 Jul (MalaysiaAktif) – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor menggerakkan pasukan kaunselor serta Guru Bimbingan dan Kaunseking bagi melaksanakan sokongan psikososial kepada warga sekolah yang terlibat dengan insiden tikam di institusi itu, semalam.
JPN Selangor dalam satu kenyataan semalam memaklumkan langkah itu bertujuan membantu mengurangkan kesan emosi susulan insiden berkenaan serta memastikan kebajikan semua pihak yang terkesan terus diberi perhatian.
JPN turut memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan lancar.
“Tumpuan utama pada ketika ini adalah untuk memastikan murid yang tercedera mendapat rawatan terbaik dan bantuan diberi kepada keluarga,” menurut kenyataan itu.
JPN Selangor memaklumkan mangsa kini sedang menerima rawatan di hospital, manakala suspek telah ditahan pihak polis bagi membantu siasatan.
JPN Selangor turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu proses siasatan.
JPN Selangor menegaskan akan terus memantau perkembangan kes serta memberikan sokongan sewajarnya kepada murid, keluarga dan warga sekolah sepanjang tempoh siasatan berlangsung.
-RI




