
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Norhafizah Abd Rahim (Marang)
MARANG, 7 Jul (MalaysiaAktif) – Kesedaran mengenai bahaya gejala buli dalam kalangan generasi muda terus diperkukuh menerusi pelbagai usaha pendidikan yang memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah positif, budaya saling menghormati dan keberanian melaporkan kejadian buli.
Pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Binjai Rendah, Marziana Omar berkata program ini dapat meningkatkan kesedaran murid terhadap usaha mencegah gejala buli di samping membentuk sahsiah positif dalam kalangan generasi muda.
“Setiap murid memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang selamat, harmoni dan saling menghormati,” katanya ketika menyampaikan taklimat menerusi Program Asas Penerangan di NADI Binjai Rendah, di sini Sabtu lepas.
Beliau berkata murid juga perlu memahami bentuk-bentuk buli seperti buli fizikal, lisan, emosi dan siber serta berani melaporkan sebarang kejadian kepada guru, ibu bapa atau individu yang dipercayai kerana sikap berdiam diri atau menjadi pemerhati hanya akan menyebabkan gejala itu terus berleluasa.
Bagi menjadikan penyampaian mesej lebih kreatif dan dekat dengan generasi muda, para peserta turut terlibat dalam penghasilan video pendek bertemakan pencegahan buli yang memaparkan mesej kesedaran agar murid saling menghormati, mengamalkan nilai kasih sayang serta bersama-sama menolak budaya buli dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, peserta program, Muhammad Aidil Farzuan Mohd Rizan, 14, berkata program tersebut membuka matanya mengenai kesan buruk buli terhadap mangsa dan kepentingan untuk tampil membantu apabila menyaksikan kejadian buli.
“Saya lebih faham bahawa buli bukan sekadar memukul, tetapi juga melibatkan kata-kata, ejekan dan tindakan di media sosial. Saya berharap mesej yang disampaikan melalui video yang kami hasilkan dapat memberi kesedaran kepada rakan-rakan supaya tidak membuli dan berani menghentikan perbuatan tersebut,” katanya.
Program tersebut turut mendapat kerjasama Ketua Komuniti MADANI Cerang Guling dan Kampung Durian Penjara serta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Binjai Rendah dalam usaha menyemai nilai murni, memperkukuh semangat perpaduan serta melahirkan generasi muda yang berakhlak mulia, bertanggungjawab dan cakna terhadap kesejahteraan komuniti.
-AA-







