
Laporan/foto: Radiah Rahim (Pahang)
KUANTAN, 13 Jul (MalaysiaAktif) – Festival Belia Pahang 2026 sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang berlangsung meriah di Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Negeri Pahang, Kuantan, bermula 10 hingga 12 Julai lalu.
Festival yang menghimpunkan golongan belia dari seluruh negeri itu menawarkan pelbagai pengisian menarik dan bermanfaat kepada pengunjung, termasuk pertandingan dan cabaran belia, aktiviti sukan serta rekreasi, pameran agensi kerajaan dan swasta, pameran keusahawanan belia, forum, sesi perkongsian ilmu, pameran kerjaya, persembahan pentas serta cabutan bertuah.

Roshaida Emiliana Khairuddin (kiri) yang menemani anaknya menyertai aktiviti wall climbing.
Selain menjadi platform menggalakkan penyertaan aktif belia dalam pembangunan masyarakat, festival ini turut membuka peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat berkaitan pendidikan, kerjaya, keusahawanan dan perkhidmatan yang disediakan pelbagai agensi.
Seorang pengunjung, Roshaida Emiliana Khairuddin, 40, berkata festival tersebut wajar diteruskan kerana menyediakan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
“Program ini sesuai untuk pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak. Banyak aktiviti menarik yang boleh disertai seisi keluarga,” katanya ketika ditemui MalaysiaAktif, di sini Jumaat lalu.
Turut diadakan sepanjang festival ialah Majlis Perasmian KOMBES negeri Pahang serta Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pahang sebagai tanda penghargaan kepada individu dan pertubuhan belia yang cemerlang.
-RI




