
Laporan/foto: Lyana Athirah (Kota Setar)
ALOR SETAR, 13 Jul (MalaysiaAktif) – Tindakan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) perlu dilakukan segera apabila seseorang mangsa didapati tidak sedarkan diri, tiada nadi dan berhenti bernafas bagi meningkatkan peluang untuk diselamatkan sebelum bantuan perubatan tiba, kata Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar Dr Saidatul Fatiha Abd Ghafar.
“Tindakan terawal adalah memeriksa tindak balas mangsa dengan menepuk bahu dan terus meminta bantuan orang sekeliling untuk menghubungi talian 999 dengan jelas.

Dr. Saidatul Fatiha mengupas langkah awal CPR bersama komuniti Taman Wira Mergong.
“Penyelamat juga perlu memastikan tiada sebarang halangan pada saluran pernafasan mangsa sebelum memeriksa denyutan nadi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program demonstrasi bantuan kecemasan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran asas CPR bersama penduduk Taman Wira dan ahli Kelab Rekreasi Warga Tua Taman Wira Mergong, di sini semalam.
Program yang dikendalikan oleh pegawai kesihatan daripada Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar itu memberi pendedahan secara teori dan praktikal kepada peserta mengenai langkah-langkah asas bantuan kecemasan, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat untuk bertindak pantas dan tepat ketika berdepan situasi kecemasan.
Penganjuran program ini mampu melahirkan komuniti yang lebih peka, berpengetahuan dan bersedia memainkan peranan sebagai pemberi bantuan awal sekali gus membantu meningkatkan peluang menyelamatkan nyawa sebelum ketibaan pasukan perubatan.
-RI




