Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Sultan Selangor Tinjau Operasi LRT3, Sifatkan Pemangkin Mobiliti Moden Rakyat

By 15 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Herlina Zakaria (Selangor)/Selangor Royal Office

SHAH ALAM, 13 Jul (MalaysiaAktif) – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) atas kejayaan merealisasikan serta melancarkan operasi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam yang disifatkan sebagai pemangkin kepada sistem pengangkutan awam moden dan peningkatan kualiti hidup rakyat.

Istana Alam Shah menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, baginda bertitah projek infrastruktur yang sekian lama dinantikan itu bakal memberi manfaat besar kepada penduduk khususnya di Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya menerusi penyediaan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, selesa dan mampan selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Terdahulu, baginda berkenan menaiki LRT3 kira-kira jam 10.40 pagi tadi dari stesen Bandar Utama di Petaling Jaya hingga ke stesen Johan Setia di Klang diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Dalam kenyataan itu, baginda turut menzahirkan rasa teruja menantikan pembinaan semula lima stesen yang sebelum ini ditangguhkan, iaitu Stesen Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik yang dijangka memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk di kawasan terbabit.

Pada masa sama, baginda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Prasarana, MRCB serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan pembinaan serta pengoperasian LRT3 Laluan Shah Alam.

“Sepanjang tempoh pembinaan selama 10 tahun 9 bulan, secara puratanya seramai 8,000 kakitangan bertugas di pelbagai lokasi pada satu-satu masa, merangkumi pelbagai disiplin dan bidang kepakaran bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Walaupun stesen, !andasan dan tren merupakan hasil yang dapat dilihat oleh masyarakat, hakikatnya kejayaan sebenar projek ini adaiah manifestasi dedikasi, profesionalisme serta semangat lebih 13,000 individu yang telah mengabdikan tenaga dan kepakaran mereka sepanjang pernbtnaannya,” menurut kenyataan itu lagi.

Baginda turut berharap warga kerja Prasarana terus memastikan kelancaran operasi LRT3 Laluan Shah Alam dengan meminimumkan sebarang gangguan perkhidmatan.

Dalam pada itu baginda turut menyeru rakyat agar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan tersebut sebagai usaha memperkukuh budaya penggunaan pengangkutan awam ke arah mewujudkan sistem mobiliti yang moden, lestari dan berkualiti untuk masa hadapan.

-RI

Tinggalkan komen anda