
Laporan/foto: Loseyeffer Molly (Bau)/KKMG Bau
BAU, 13 Jul (MalaysiaAktif) – Kolej Komuniti Mas Gading (KKMG) terus memperkukuh agenda pendigitalan pendidikan dan pembangunan kemahiran komuniti apabila menganjurkan dua kursus berteraskan teknologi digital secara serentak, kelmarin.
Inisiatif menerusi Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) itu melibatkan penganjuran Kursus Aplikasi Canva AI dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Prasekolah dan Kursus Asas Website Wix.
Pegawai Perhubungan Awam KKMG Christi Lemon berkata penguasaan kemahiran digital tersebut merupakan nilai tambah yang penting kepada komuniti setempat pada masa kini.
“Kemahiran ini bukan sahaja membantu komuniti menghasilkan bahan yang lebih kreatif dan profesional, malah meningkatkan keyakinan mereka untuk mengadaptasi teknologi dalam pendidikan, kerjaya dan komunikasi digital seiring perkembangan Revolusi Industri 4.0,” katanya.
Turut berkongsi pandangan, Pensyarah KKMG Suzila Farni Mohamad Ibrahim yang menyifatkan penguasaan teknologi digital sebagai satu keperluan dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian ilmu.
“Teknologi kecerdasan buatan bukan bertujuan menggantikan peranan pendidik atau kreativiti seseorang, sebaliknya menjadi pemudah cara dalam menghasilkan bahan pengajaran yang lebih menarik, interaktif dan berkualiti.
“Melalui penguasaan aplikasi seperti Canva AI dan Wix, peserta dapat memanfaatkan teknologi digital secara lebih efektif bagi memenuhi keperluan pendidikan dan komunikasi masa kini,” jelasnya.
-RJ-





