
Laporan/foto: Atirah Che Hasan/Samsul Amri (LMS)
TAIPING, 15 Jul (MalaysiaAktif) – Karnival Agro Jabatan Pertanian Daerah Larut Matang dan Selama 2026 menjadi platform memperkukuh sektor pertanian serta memperluaskan peluang pemasaran hasil agro dan produk tempatan kepada masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak Dato’ Mohd Zolkafly Harun ketika merasmikan program tersebut menekankan kepentingan sektor pertanian sebagai pemacu ekonomi dan keterjaminan makanan negara.
“Penganjuran karnival ini membuktikan komitmen Jabatan Pertanian dalam memperkasakan sektor agromakanan, menggalakkan penglibatan masyarakat dan menyokong pembangunan usahawan tani ke arah meningkatkan keterjaminan makanan serta merancakkan ekonomi setempat,” ujarnya di Caravan Park, Pejabat Pertanian Daerah Larut Matang dan Selama, di sini semalam.
Beliau turut menggesa penglibatan lebih ramai golongan muda menceburi bidang pertanian dengan memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan produktiviti.

Pengunjung turut berpeluang menimba ilmu di khemah pameran.
Salah seorang pengunjung, Mohd Fazly Hafiz Nayan, 30, berkata penganjuran karnival ini memberi manfaat kepada masyarakat kerana menyediakan pelbagai produk pertanian berkualiti pada harga berpatutan.
“Karnival ini juga berjaya membuka peluang kepada orang ramai menimba ilmu mengenai teknologi dan inovasi dalam bidang pertanian.
“Saya harap program seumpama ini diteruskan pada masa hadapan bagi menyokong pembangunan usahawan tempatan serta menarik minat lebih ramai golongan muda menceburi sektor pertanian,” ujarnya.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula semalam ini berjaya menghimpunkan pelbagai pengisian menarik seperti pameran dan jualan produk pertanian, demonstrasi penanaman hidroponik, pertandingan penyediaan Wanpaku Sandwich, pertandingan hasil sayur-sayuran serta aktiviti interaktif Puzzle Buah-buahan.
Turut diadakan penyampaian cek cura kepada usahawan, komuniti dan pemenang pertandingan hasil buah-buahan.
-RI




