Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Seminar Undang-Undang Keluarga Islam Tingkat Kefahaman Masyarakat Sadong Jaya

By 15 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Meriah Abdul Hamid (Samarahan)

KOTA SAMARAHAN, 15 Jul (MalaysiaAktif) – Lebih 150 peserta menghadiri Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak bagi meningkatkan kesedaran mengenai hak serta tanggungjawab institusi keluarga berlandaskan syariat Islam.

Program julung kali bersempena Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak 2026 yang bertemakan ‘Ummah Maju Makmur’ itu dianjurkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) dengan kerjasama Majlis Islam Sarawak di Dewan Warisan Sadong Jaya, semalam.

Ia berjaya menghimpunkan wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat, Ketua Komuniti Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta orang awam.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, undang-undang tersebut berfungsi sebagai kerangka yang memelihara hak ahli keluarga dan bukan sekadar rujukan ketika berlaku pertikaian di mahkamah.

“Program seperti ini memberi ruang kepada masyarakat untuk memahami hak, tanggungjawab dan saluran yang betul dalam menyelesaikan isu kekeluargaan mengikut peruntukan undang-undang syariah,” katanya ketika menyempurnakan majlis penangguhan seminar tersebut.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Sarawak Datu Awang Suhaili Ledi berkata, seminar berkenaan bertujuan memberi pendedahan mengenai pengurusan perkahwinan, perceraian, hak wanita dan harta pusaka.

Ia turut memperkenalkan peranan JKSS, Jabatan Tanah dan Survei serta Pejabat Daerah dalam pengurusan harta orang Islam.

Bagi peserta Penghulu Ramani Tobek, pengisian seminar itu amat membantu meningkatkan kefahaman masyarakat berkaitan pengurusan keluarga dan harta, manakala seorang lagi peserta Noryati Joni menyifatkan penyertaannya memberi pengetahuan lebih jelas mengenai hak serta tanggungjawab umat Islam.

Selain seminar, program turut diserikan dengan pameran dan kaunter khidmat nasihat melibatkan pelbagai agensi termasuk JKSS, Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Tanah dan Survei, Pejabat Daerah Sadong Jaya, Tabung Baitulmal Sarawak, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Lembaga Tabung Haji, Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan bakul makanan daripada Tabung Baitulmal Sarawak kepada lima penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan keluarga memerlukan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda