Skip to main content
Rencana & Pendapat

Rezeki Musim Durian, Pekebun Tawar Harga ‘Rahmah’

By 39 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Zulaikha Mazlan (Jeli)

JELI, 17 Jul (MalaysiaAktif) – Musim durian tahun ini memberi rezeki kepada pekebun di daerah ini apabila peningkatan hasil tuaian membolehkan mereka menawarkan buah pada harga ‘Rahmah’ dan lebih berpatutan, sekali gus menarik kehadiran pembeli dari sekitar Jeli dan kawasan berhampiran.

Pekebun duria dari Kampung Air Bol, Wan Kassim Wan Daud, 66, berkata beliau menjual durian kampung hasil kebunnya sendiri pada harga serendah RM1.50 sekilogram, manakala jualan secara longgokan ditawarkan bermula sekitar RM25 mengikut saiz dan kuantiti buah.

Beliau berkata hasil tuaian yang lebih lumayan berbanding tahun lalu membolehkannya menawarkan harga mampu milik supaya lebih ramai dapat menikmati raja buah itu.

Wan Kassim menunjukkan isi durian kampung yang dijual.

“Semua durian yang dijual adalah hasil kebun sendiri. Walaupun durian kampung, isinya berlemak, rasanya enak dan tetap menjadi pilihan pelanggan,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Sementara itu, seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai, Siti Balqis, 23, berkata beliau memilih membeli di gerai tersebut kerana harga yang berpatutan serta kualiti buah yang memuaskan.

“Durian kampung mempunyai rasa yang tersendiri dan harganya sangat berbaloi. Sebab itu saya datang setiap kali musim durian,” katanya.

Sambutan yang diterima membuktikan durian kampung tempatan terus menjadi pilihan masyarakat, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil di kawasan tersebut.

-RI

Tinggalkan komen anda