Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Operasi SkyCab, SkyBridge, SkyGlide dan SkyBistro Langkawi Dihentikan Sementara

By 19 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Nazri (Langkawi)

LANGKAWI, 17 Jul (MalaysiaAktif) – Operasi SkyCab, SkyBridge, SkyGlide dan SkyBistro Langkawi dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan tahunan sehingga 24 Julai ini.

Pemangku Ketua Pegawai Operasi Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (PLSB) Ir. Abu Hashim Abd. Rahman berkata kerja-kerja yang dilaksanakan merangkumi pemeriksaan dan baik pulih sheave assemblies, penggantian gearbox, penggantian motor utama DC Drive serta pemeriksaan sistem elektrik mengikut prosedur operasi dan piawaian keselamatan yang ditetapkan.

“Keselamatan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan syarikat.

“Pelaksanaan penyelenggaraan berkala ini merupakan langkah proaktif bagi memastikan setiap komponen mekanikal dan elektrikal berada dalam keadaan optimum sebelum operasi diteruskan kepada orang ramai,” katanya pada sesi taklimat khas sempena program Yearly Preventive Maintenance 2026 di Langkawi SkyCab, di sini kelmarin.

Program bermula pada 12 Julai lalu itu melibatkan pemeriksaan menyeluruh sistem kereta kabel dan penyelenggaraan komponen utama di Langkawi SkyCab, sebagai langkah proaktif memastikan keselamatan pengunjung sentiasa berada pada tahap tertinggi serta menjamin kelancaran operasi tarikan pelancongan itu.

Para petugas mendengar taklimat sebelum memulakan tugasan bagi memastikan kerja-kerja pembaikan lancar dan langkah-langkah keselamatan diutamakan.

Sementara itu, pengunjung masih boleh menikmati pelbagai tarikan lain di Oriental Village yang terus beroperasi seperti biasa, antaranya SkyDome, SkyRex, 3D Art Langkawi, 6D Cinemotion, Machinchang Petland, SkyATV serta Telaga Tujuh.

Menurut beliau, penyelenggaraan tahunan ini bukan sahaja memastikan setiap sistem berada dalam keadaan terbaik, malah mencerminkan komitmen berterusan PLSB dalam mengekalkan standard keselamatan dan kualiti perkhidmatan bertaraf antarabangsa.

Usaha berterusan itu diharap dapat memberikan pengalaman pelancongan yang lebih selamat, selesa dan berkualiti kepada setiap pengunjung, sekali gus memperkukuhkan keyakinan pelancong terhadap Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama negara.

-RI

Tinggalkan komen anda