
Laporan/foto: Muhamad Muzaffar Marrudzuki (Tampin)
TAMPIN, 20 Jul (MalaysiaAktif) – Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tampin mempergiat usaha membendung penularan wabak denggi di Taman Indah menerusi Program Gotong-Royong Cari dan Musnah yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi serta penduduk setempat, kelmarin.
Program tersebut diadakan susulan penularan wabak denggi yang direkodkan di kawasan berkenaan pada 9 Julai lalu, dengan tumpuan diberikan kepada pembersihan kawasan berisiko serta penghapusan lokasi pembiakan nyamuk Aedes.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Pra-Warta) PKD Tampin, Dr. Siti Zubaidah Mohamed Isa berkata pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi mengekang penularan penyakit itu, termasuk penglibatan komuniti menerusi program gotong-royong sebagai antara pendekatan penting dalam usaha kawalan denggi.
Beliau berkata objektif utama program adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko serta bahaya wabak denggi, di samping mengurangkan jumlah kes melalui penghapusan tempat pembiakan nyamuk.
“Program gotong-royong ini bukan sekadar membersihkan kawasan yang kotor dan berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, malah bertujuan memupuk semangat kerjasama dan tanggungjawab berterusan dalam kalangan penduduk untuk memastikan kebersihan persekitaran sentiasa terpelihara,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Program itu disertai kira-kira 60 peserta terdiri daripada penduduk Taman Indah dan wakil pelbagai agensi termasuk PKD Tampin, Majlis Daerah Tampin, Pejabat Penerangan Daerah Tampin, SWCorp serta Jawatankuasa COMBI Daerah Tampin.
-FN






