Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Perbahasan Interaktif Lahir Komuniti Berfikiran Kritis, Tangkis Maklumat Palsu

By 16 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mawarni Ismail/Firdaus Rashid (Barat Daya)

BAYAN BARU, 20 Jul (MalaysiaAktif) – Penganjuran Program Perbahasan Interaktif Bersama Komuniti dilihat sebagai platform berkesan dalam memperkasakan literasi digital, meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu semasa serta membentuk komuniti yang lebih kritis, berfikiran matang dan berupaya menangkis penyebaran maklumat palsu melalui perbincangan yang berfakta.

Menurut Pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pantai Jerejak Zaim Hanif Nazarudin, program itu bukan sahaja meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu-isu semasa, malah berperanan memperkukuh daya tahan komuniti dalam menghadapi ancaman penyebaran salah maklumat.

“Program ini bakal melahirkan komuniti yang peka terhadap isu semasa, berani menyuarakan pandangan serta mampu berhujah bagi menangkis maklumat yang tidak sahih dengan penuh yakin dan berkesan,” katanya kepada wartawan Malaysia Aktif, di sini semalam.

Antara peserta yang hadir ke Program Perbahasan Interaktif Bersama Komuniti.

Zaim turut menyampaikan taklimat mengenai Kempen Internet Selamat yang memberi penekanan terhadap amalan penggunaan Internet secara bertanggungjawab, aspek keselamatan siber serta kepentingan menyemak kesahihan maklumat sebelum dikongsi bagi membendung penularan berita palsu dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu Setiausaha Komuniti MADANI Mahsuri Marzuki Che Amad, menyifatkan program tersebut sebagai satu inisiatif yang amat bermanfaat kerana menyediakan ruang kepada masyarakat untuk memahami isu-isu semasa dengan lebih mendalam, selain menggalakkan budaya berdialog dan berbahas secara matang, rasional serta saling menghormati.

Program hasil kerjasama strategik antara Jabatan Penerangan (JAPEN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu dilaksanakan secara berkala sebanyak dua kali sebulan di setiap kawasan Parlimen dengan penyertaan berskala kecil yang melibatkan Ahli Komuniti MADANI serta ahli dan panel NADI.

Antara pengisian utama program ialah Taklimat Isu Semasa berkaitan dasar-dasar kerajaan dan naratif semasa, sesi perbahasan serta dialog interaktif yang memberi peluang kepada peserta mengemukakan soalan, berkongsi pandangan dan bertukar idea secara terbuka dalam suasana yang harmoni serta berhemah.

-RI

Tinggalkan komen anda