
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 20 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 80 peserta di sekitar Bandar Simanggang menyertai Bengkel Kesempurnaan Solat (BKS) anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) bertempat di Masjid Bandar Sri Aman, kelmarin.
Penyelaras program Ustaz Abang Azman Abang Muhammad berkata, bengkel bersempena Program Ziarah Marhabah Majlis Islam Sarawak 1448H/2026M itu merupakan usaha berterusan memperluaskan pendidikan agama secara praktikal dan berkesan.
“Melalui bengkel seperti ini, peserta bukan sahaja memperoleh ilmu secara teori, malah berpeluang memperbaiki amalan ibadah dengan bimbingan secara langsung daripada para penceramah.
“Diharapkan ilmu yang diperoleh dapat diamalkan dan disebarluaskan kepada ahli keluarga serta masyarakat,” katanya.
Sesi pengisian bengkel bermula jam 8 pagi hingga 5 petang itu dikendalikan oleh Timbalan Imam Besar Negeri Sarawak Ustaz Mohd Ihsan bersama Ketua Imam Zon Selatan Ustaz Anwar Musadad.
Menerusi sesi tersebut, para penceramah menghuraikan aspek rukun, sunat serta kesilapan lazim dalam pelaksanaan solat selain mengadakan ruang interaktif bagi membolehkan peserta mengemukakan pelbagai persoalan.
Bagi peserta Misliyana Menterang, 50, pengisian bengkel tersebut memberi manfaat besar dalam memperkukuh kefahaman serta meningkatkan keyakinannya untuk beribadah dengan lebih sempurna.
“Program seperti ini memberi peluang kepada masyarakat memperbetulkan amalan solat serta menambah ilmu berkaitan perkara yang sering dipandang ringan. Saya berharap lebih banyak program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” jelasnya.
Secara keseluruhannya, penganjuran bengkel tersebut diharap dapat meningkatkan penghayatan terhadap ibadah solat, sekali gus menyokong usaha melahirkan masyarakat berilmu dan beramal di Bahagian Sri Aman.
-RJ-





