
Laporan/foto: Lim Poh Choo (Sarawak)
KUCHING, 20 Jul (MalaysiaAktif) – Pengusaha tuak berketurunan Bisaya dari Limbang, Melissa Manis Pongkas, 51, terus mengangkat warisan minuman tradisional Borneo menerusi penghasilan Tuak Tebu Asli di bawah jenama Tuak Ayak Suteh yang diusahakan sejak 2019.
Beliau yang kini menetap di Kuching menawarkan antara sembilan hingga 12 variasi perisa tuak yang dipasarkan di sekitar bandar raya ini dan Langkawi, selain merancang untuk memperluas pasaran ke Kuala Lumpur serta Kota Kinabalu.
Menurutnya, walaupun produk tersebut belum dieksport secara rasmi, Tuak Ayak Suteh telah mendapat sambutan luar biasa daripada pelancong luar negara yang membawanya pulang ke Jerman, Taipei, Perancis dan Australia.
“Keunikan Tuak Tebu Asli terletak pada penggunaan kulit kayu Koong dalam proses penapaian tradisional yang mengekalkan keaslian resipi warisan masyarakat Borneo,” katanya ketika ditemui.
Bagi merealisasikan potensi pasaran antarabangsa, Melissa berharap pihak kerajaan akan terus menyokong pengusaha tempatan melalui penyediaan geran dan inisiatif pembangunan perniagaan.
“Sokongan berterusan kepada usahawan tempatan amat penting untuk memperluaskan pasaran serta memastikan warisan pembuatan tuak tradisional terus dipelihara dan dikenali di peringkat global,” ujarnya.
Terdahulu, kisah inspirasi usahawan ini diserlahkan sempena Festival Tuak Borneo 2026 yang berlangsung dari 17 hingga 19 Julai di 11 Ridgeway, di sini, yang melabuhkan tirainya dengan sambutan menggalakkan apabila menerima kira-kira 20,000 pengunjung.
Pada majlis perasmian festival tersebut, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan berkata kementerian akan terus menyokong usaha memelihara warisan budaya serta memperkasakan usahawan tempatan sebagai pemacu ekonomi kreatif Sarawak.
-RJ-





