
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 20 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 150 peserta dari sekitar Parlimen Sri Aman menyertai Program Jangkauan Teknologi Komuniti (CTOP) bagi meningkatkan kemahiran teknikal serta memperluas peluang menjana pendapatan, kelmarin.
Program anjuran bersama Pusat Khidmat Parlimen Sri Aman dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) itu disempurnakan penangguhannya oleh Ahli Parlimen Sri Aman Dato’ Sri Doris Sophia Brodie.
Beliau menyifatkan CTOP sebagai platform penting dalam melahirkan masyarakat berkemahiran, berdaya saing dan bersedia menghadapi keperluan ekonomi semasa.
“Program pembangunan kemahiran seperti CTOP bukan sahaja menambah pengetahuan peserta, malah menjadi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup melalui bidang yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran.
“Ilmu menjadikan seseorang tahu, tetapi kemahiran menjadikan seseorang mampu. Kemahiran ialah jambatan yang menghubungkan pengetahuan dengan tindakan, sekali gus membolehkan peserta mengubah ilmu yang dipelajari kepada peluang pekerjaan dan sumber pendapatan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Mengulas lanjut, Doris berkata bidang seperti bakeri, pertanian moden dan perkhidmatan kecantikan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai perusahaan mikro yang menyumbang kepada peningkatan ekonomi komuniti.
Memandangkan ramai usahawan berjaya bermula dengan perniagaan berskala kecil, beliau menyarankan peserta memanfaatkan kemahiran yang diperoleh bagi membina perniagaan sendiri serta mewujudkan peluang pekerjaan.
“Pusat Khidmat Parlimen Sri Aman akan terus bekerjasama dengan CENTEXS dan agensi berkaitan bagi memperluaskan pelaksanaan Program Jangkauan Teknologi Komuniti supaya lebih ramai penduduk, khususnya belia, wanita dan komuniti luar bandar, mendapat akses kepada latihan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri,” tambahnya.
Sepanjang program, peserta didedahkan dengan latihan berasaskan amali dalam enam bidang berpotensi tinggi iaitu bakeri, patisserie, solekan, pembuatan kuas, fertigasi dan hidroponik.
Latihan praktikal berkenaan memberi pendedahan kepada teknik asas, penghasilan produk berkualiti serta peluang keusahawanan yang boleh diceburi sama ada secara sambilan mahupun sepenuh masa.
-RJ-





