Skip to main content
Berita TempatanSabah

MYFutureJobs Rekod 72,227 Penempatan Di Sabah

By 18 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamidah Len/Perkeso (Sabah)

KOTA KINABALU 20 Jul (MalaysiaAktif)-Portal MYFutureJobs merekodkan 72,227 penempatan pekerjaan di Sabah sepanjang 2020 sehingga 10 Julai lalu.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang ditubuhkan di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi melaksanakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 kini memperluas peranannya dalam pasaran pekerjaan menerusi Karnival Kerjaya MYFutureJobs X Oil & Gas 2026 yang dijangka menarik lebih 5,000 pengunjung pada 22 hingga 23 Ogos ini.

Pengarah Pejabat PERKESO Sabah, Dr. Ali Hindia berkata dalam landskap ekonomi yang semakin dipacu teknologi, pekerjaan bukan lagi bergantung kepada kelayakan akademik semata-mata, sebaliknya menuntut keupayaan menyesuaikan diri, penguasaan kemahiran digital, komunikasi berkesan serta kebolehan menyelesaikan masalah.

“Bagi merapatkan jurang berkenaan, PERKESO menyediakan pendekatan secara individu menerusi Kaunter Kaunseling Kerjaya MYFutureJobs untuk membantu pencari kerja mengenal pasti potensi diri, jurang kemahiran serta laluan kerjaya bersesuaian.

“Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan akan menilai latar belakang pendidikan, pengalaman, kemahiran, minat dan aspirasi sebelum mencadangkan peluang pekerjaan yang sesuai.

“Matlamatnya bukan sekadar meminta pencari kerja memohon sebanyak mungkin jawatan, bahkan membantu mereka memperoleh pekerjaan yang sepadan dengan kebolehan serta mempunyai ruang perkembangan kerjaya,” katanya ketika dihubungi Malaysia Aktif, hari ini.

Beliau berkata perkhidmatan itu terbuka kepada semua golongan termasuk graduan baharu, individu yang kehilangan pekerjaan, pekerja yang mahu beralih kerjaya, wanita kembali ke alam pekerjaan serta Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurutnya, perubahan dunia pekerjaan menuntut tenaga kerja sentiasa meningkatkan keupayaan diri menerusi pembelajaran sepanjang hayat, peningkatan kemahiran dan latihan semula.

“Mereka yang mampu menyesuaikan kemahiran dengan kehendak industri akan mempunyai peluang lebih besar untuk memperoleh pekerjaan dan membina kerjaya yang mampan,” katanya.

“Melalui sesi kaunseling, PERKESO turut mencadangkan latihan, pensijilan dan program peningkatan kemahiran yang selari dengan hala tuju kerjaya pencari kerja selain menggalakkan mereka mengemas kini profil MYFutureJobs bagi membolehkan padanan pekerjaan dilakukan dengan lebih tepat,”ujarnya.

Sementara itu, Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO Sabah merekodkan 63,085 pencari kerja aktif dalam portal MYFutureJobs setakat 3 Julai 2026.

-RJ-

Tinggalkan komen anda