Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kempen Derma Darah Song Galak Budaya Prihatin

By 22 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamzah Bohari/Danial Zakwan (Song)

SONG, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Pasukan Bomba Sukarela Song dengan kerjasama Kwang Tung Association Song menganjurkan Kempen Derma Darah bagi membantu menambah bekalan darah di hospital serta memupuk kesedaran masyarakat.

Program bertemakan ‘Setitis Darah, Sejuta Harapan’ yang berlangsung di Terminal Penumpang Song itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang tampil membantu pesakit memerlukan.

Selain meningkatkan stok bekalan darah untuk mangsa kemalangan, pesakit kronik dan mereka yang menjalani pembedahan, kempen tersebut bertujuan menyemai semangat kesukarelawanan, keprihatinan serta nilai kemanusiaan.

Bagi memastikan keselamatan, setiap proses pendermaan dikendalikan sepenuhnya oleh petugas kesihatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagi penderma Mastura Pon, 45, dari Kampung Gelam, beliau sentiasa berusaha menyertai kempen derma darah kerana percaya sumbangannya mampu memberi peluang kedua kepada pesakit.

“Saya memang akan cuba hadir apabila ada kempen derma darah diadakan. Menderma darah adalah satu amalan yang sangat bermakna kerana kita mungkin tidak mengenali penerimanya, tetapi ia mampu menyelamatkan nyawa seseorang.

“Saya berharap lebih ramai khususnya golongan muda tidak takut menderma darah kerana prosesnya selamat, tidak mengambil masa lama dan manfaatnya amat besar,” katanya yang turut menggalakkan pendermaan secara berkala.

Secara keseluruhannya, pihak penganjur berharap individu yang memenuhi syarat terus tampil sebagai penderma pada masa hadapan, selari dengan mesej kempen iaitu ‘Derma Darah, Derma Kehidupan’.

-RJ-

Tinggalkan komen anda