
Laporan/foto: Zulkarnain Rodzi (Kedah)/Kedah Tourism
ALOR SETAR, 23 Jul (MalaysiaAktif) – Rumah Merdeka di Jalan Putra di sini terus menjadi antara destinasi warisan bersejarah yang signifikan dalam menyingkap perjuangan kemerdekaan negara menerusi pelbagai koleksi artifak, dokumen dan bahan pameran berkaitan kehidupan serta kepimpinan Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Rumah yang kini diuruskan oleh Arkib Negara Malaysia (ANM) itu pada asalnya dibina sebagai kediaman Tunku dan dinamakan Rumah Merdeka pada tahun 1954.
Bangunan bersejarah tersebut bukan sahaja menjadi tempat tinggal beliau, malah pernah menjadi lokasi perancangan strategi politik menjelang pilihan raya serta menyaksikan pelbagai detik penting dalam lipatan sejarah negara.

Rumah Merdeka di Alor Setar menyimpan pelbagai khazanah sejarah yang mengangkat perjuangan kemerdekaan negara dan legasi Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Selain mempamerkan ruang kediaman yang masih dikekalkan dalam keadaan asal, Rumah Merdeka turut menempatkan pelbagai koleksi peribadi Tunku termasuk kamera, bahan penulisan, barangan peribadi serta paparan audio visual yang membantu pengunjung memahami perjalanan perjuangan menuju kemerdekaan negara.
Antara peristiwa bersejarah yang pernah berlangsung di rumah ini ialah rundingan awal ke arah penamatan Konfrontasi Malaysia-Indonesia pada tahun 1966, sekali gus mengangkat nilai sejarah bangunan tersebut sebagai saksi kepada perkembangan hubungan diplomatik negara.
Rumah Merdeka bukan sahaja berfungsi sebagai memorial kepada tokoh negarawan, malah menjadi medium pendidikan sejarah yang memberi peluang kepada generasi muda mengenali dengan lebih dekat sumbangan Tunku Abdul Rahman dalam usaha mencapai kemerdekaan serta membina sebuah negara yang berdaulat.
Orang ramai yang berkunjung ke Alor Setar disaran meluangkan masa melawat Rumah Merdeka bagi menghayati sendiri nilai sejarah, patriotisme dan warisan perjuangan kemerdekaan yang dipelihara untuk tatapan generasi kini dan akan datang.
-RI







