Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Bangkai Ikan Lumba-Lumba Ditemukan Di George Town

By 18 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Akhir (Timur Laut)

GEORGE TOWN, 23 Jul (Malaysia Aktif) – Bangkai seekor hidupan laut dipercayai ikan lumba-lumba ditemukan berhampiran benteng batu di perairan berhadapan Menara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini semalam.

Seorang penduduk tempatan, Abdul Latif Abdullah, 45, berkata bangkai berkenaan dilihat terapung berhampiran pesisir sebelum tersangkut di celah benteng selepas dihanyutkan ombak.

“Saya terlihat bangkai itu berada dekat dengan batu dan pada mulanya tidak pasti jenis haiwan berkenaan, selepas diamati, bentuknya kelihatan seperti ikan lumba-lumba.

“Kami tidak berani menghampirinya dan terus memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarjan Yeoh Hock Hing berkata maklumat berhubung penemuan itu diterima daripada orang awam sebelum menggerakkan sepasukan anggotanya ke lokasi.

“Ketika tiba di lokasi, bangkai haiwan tersebut ditemukan berhampiran benteng batu. Anggota kemudiannya menjalankan kerja-kerja membawa naik dan memindahkan bangkai berkenaan dengan mengambil kira aspek keselamatan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri atau menyentuh bangkai hidupan laut yang ditemukan kerana haiwan yang telah mati mungkin membawa risiko kesihatan,” katanya.

Beliau berkata sebarang penemuan seumpama itu hendaklah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan selamat dan teratur dapat dilaksanakan.

-FN

Tinggalkan komen anda