Skip to main content
Berita TempatanSarawak

RM6.75 Juta Untuk Labuh Tukun Tiruan, Lestarikan Sumber Perikanan Mukah

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Aziq Asyraf Bolhie (Mukah)

MUKAH, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Sebanyak RM6.75 juta telah dibelanjakan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perikanan Malaysia bagi pelaksanaan penempatan tukun tiruan di perairan Mukah sejak 1998 sebagai usaha memulihara ekosistem marin, melindungi sumber perikanan dan menjamin kelangsungan pendapatan komuniti nelayan.

Ahli Parlimen Mukah Dato’ Hanifah Hajar Taib berkata inisiatif tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan sumber perikanan negara diurus secara lestari demi sekuriti makanan dan kesejahteraan nelayan.

Beliau berkata komuniti nelayan di Mukah memainkan peranan penting dalam membekalkan hasil laut seperti ikan, udang, ketam dan sotong bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan serta menyokong industri perikanan Sarawak.

“Keterjaminan makanan bukan hanya bergantung kepada jumlah hasil tangkapan, tetapi juga pengurusan pasca tangkapan yang cekap supaya pengguna menerima makanan laut yang segar dan selamat.

“Pengendalian hasil laut yang cekap melalui penggunaan ais, teknologi Refrigerated Sea Water (RSW) serta sistem rantaian sejuk yang baik amat penting bagi memastikan makanan laut kekal berkualiti sehingga sampai kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Melabuhkan Tukun Tiruan Jenis Penghalang Pukat Tunda di Dataran Udang, Dermaga Komersial Mukah, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hanifah menegaskan kepentingan memelihara biodiversiti marin susulan ancaman perubahan iklim dan tekanan terhadap sumber perikanan, termasuk kemerosotan populasi spesies ikan ikonik Mukah seperti ikan jamah dan ikan merah.

Justeru, beliau menggesa nelayan mengamalkan penangkapan ikan secara bertanggungjawab dengan hanya mengambil ikan matang dan menghormati spesies dilindungi agar kitaran pembiakan semula jadi dapat dikekalkan.

Beliau turut mengingatkan bahawa aktiviti penangkapan ikan secara haram, pencerobohan pukat tunda komersial, kewujudan kapal induk (mothership) serta pengeboman ikan merupakan ancaman serius yang memusnahkan ekosistem laut.

“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak dan Jabatan Perikanan Malaysia amat penting bagi memastikan usaha pemeliharaan perairan terus diperkasakan untuk generasi akan datang,” tambahnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda