Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Skim FTES Yayasan Sarawak Perluas Akses Pendidikan Tinggi Anak Lawas

By 40 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Asri Dalim/Senawi Abang (Limbang)

LAWAS, 25 Jul (MalaysiaAktif) – Akses kepada pendidikan tinggi bagi anak-anak tempatan kini terus diperluas menerusi penyediaan maklumat menyeluruh mengenai peluang pengajian, bantuan kewangan dan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (Free Tertiary Education Scheme – FTES).

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak memperkenalkan FTES bagi memastikan lebih ramai anak tempatan berpeluang melanjutkan pengajian tinggi tanpa dibebani kos, sekali gus mengurangkan jurang capaian pendidikan.

“Yayasan Sarawak telah lama berbakti dalam pembangunan pendidikan di negeri kita. Platform seperti ini memberi peluang kepada pelajar dan ibu bapa mendapatkan maklumat tepat mengenai peluang melanjutkan pengajian serta bantuan yang ditawarkan.

“Penganjuran program ini bukan sekadar pameran pendidikan malah menjadi medan mengubah pemikiran pelajar agar lebih yakin merancang masa depan dan memanfaatkan pelbagai insentif yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian bersempena dengan Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak FTES Daerah Lawas 2026 di Stadium Tertutup Lawas, di sini hari ini.

Program tersebut menghimpunkan pelajar sekolah menengah, ibu bapa, guru serta wakil institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memudahkan masyarakat mendapat maklumat secara terus mengenai laluan selepas tamat persekolahan.

Beliau menegaskan pendidikan merupakan satu pelaburan jangka panjang yang amat penting dalam melahirkan modal insan berkualiti bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri.

Awang Tengah turut menasihatkan pelajar supaya terus memelihara integriti, disiplin dan menjauhi gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah serta buli kerana kecemerlangan akademik perlu diiringi pembentukan sahsiah yang baik.

-RJ-

Tinggalkan komen anda