
Laporan/foto: Norshazila Ahmad/Mohd Hafiz (Sabak Bernam)
SUNGAI BESAR, 27 Jul (MalaysiaAktif) – Kibaran Jalur Gemilang menghiasi Dataran Tonggak 10 menjadi lambang semangat patriotisme apabila masyarakat berbilang kaum berhimpun memeriahkan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Sabak Bernam 2026, di sini kelmarin.
Pegawai Daerah Sabak Bernam, Ali Sadikin Sadin berkata majlis tersebut bukan sekadar simbolik kepada sambutan Bulan Kebangsaan, malah menjadi seruan kepada seluruh rakyat untuk terus menghayati erti kemerdekaan, mensyukuri keamanan yang dikecapi serta memperkukuh semangat perpaduan demi kemajuan negara.
“Bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, marilah kita bersama-sama memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian dan terus menyumbang ke arah sebuah negara yang lebih maju, makmur dan sejahtera untuk dinikmati oleh seluruh rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Hadirin berdiri teguh menyanyikan lagu Jalur Gemilang sebagai simbol kecintaan, perpaduan dan semangat patriotisme sempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Sabak Bernam 2026.
Beliau turut menyeru seluruh warga Sabak Bernam agar bersama-sama menjayakan Kempen Kibar Jalur Gemilang dengan mengibarkan bendera kebangsaan di setiap rumah, premis perniagaan, pejabat kerajaan, institusi pendidikan, bangunan swasta serta kenderaan sepanjang Bulan Kebangsaan.
“Apabila Jalur Gemilang berkibar megah di setiap pelosok daerah, ia bukan sekadar menghiasi persekitaran, tetapi menjadi lambang kesatuan hati rakyat yang cintakan negara serta menghargai nikmat keamanan yang dikecapi,” katanya ketika berucap di Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Sabak Bernam 2026.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian termasuk ceramah Inisiatif ‘1 Rumah, 1 Jalur Gemilang’, edaran Jalur Gemilang kepada ketua jabatan dan agensi kerajaan, edaran bahan penerbitan Jabatan Penerangan Malaysia serta nyanyian lagu Jalur Gemilang yang membangkitkan semangat patriotik.
-FN




