
Laporan/foto: Danial Zakwan/Hamzah Bohari (Song)
SONG, 27 Jul (MalaysiaAktif) – Peningkatan kes jenayah siber menuntut masyarakat memperkukuh literasi digital serta meningkatkan keupayaan menilai kesahihan maklumat bagi mengelak menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Usaha itu terus diperkasakan menerusi Program Hasrat MADANI Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Zon Sarawak yang menghimpunkan 50 peserta terdiri daripada ketua kaum, belia dan beliawanis di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Song, hari ini.
Penceramah Hamzah Bohari ketika menyampaikan ceramah Jenayah Siber berkata, masyarakat perlu sentiasa menyemak kesahihan setiap panggilan, mesej atau pautan sebelum berkongsi maklumat peribadi serta kewangan.
“Jangan mudah percaya kepada sebarang panggilan, mesej atau pautan yang meminta maklumat peribadi dan kewangan.
“Semak terlebih dahulu kesahihan maklumat sebelum mengambil sebarang tindakan kerana penipu atau ‘scammer’ sentiasa mencari peluang melalui kelekaan mangsa,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keselamatan siber bermula daripada sikap individu dalam menggunakan teknologi secara berhemah.
“Keselamatan siber bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi bermula daripada sikap setiap pengguna. Berfikir sebelum klik dan sentiasa membuat semakan mampu mengelakkan kita daripada menjadi mangsa jenayah siber,” tambahnya.
Dalam pada itu, Pengurus NADI Song Daisy Unggang menerusi sesi NADI Mahir berkongsi peranan fasiliti berkenaan sebagai pusat pembelajaran komuniti yang menyediakan latihan serta kemudahan teknologi bagi meningkatkan kemahiran digital masyarakat selaras dengan keperluan semasa.
Selain itu, program tersebut turut memberi penerangan mengenai fungsi JKOM sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dan rakyat bagi memastikan penyampaian maklumat tepat, pantas serta sahih ke peringkat akar umbi.
Secara keseluruhannya, sambutan aktif peserta sepanjang program mencerminkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan keselamatan digital bagi melahirkan masyarakat celik teknologi yang berdaya tahan menangkis penyebaran maklumat palsu.
-RJ-





