Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

PT3: Ayah Sumber Inspirasi Kejayaan Mohd Aidil

By 19 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Mohd Aidil Akmal bersama ayah Razak Hasan yang berbangga dengan keputusan yang diperoleh anaknya.

 

Laporan / foto oleh Fauzrina Hj Bulka

JASIN, 19 Dis (Malaysiaaktif) — Menjadikan ayah sendiri sebagai sumber inspirasi, Mohd Aidil Akmal Razak berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan PT3 yang diumumkan pagi tadi.

Dia yang hadir ke Sekolah Menengah Agama Tun Perak (SMATP),  di sini, bersama ayah dan adik lelakinya tidak menjangka akan memperoleh 11A dalam keputusan peperiksaan yang didudukinya.

3dbb26d9-bda3-4ae4-83fb-73aec6ee13db

“Saya memang tidak menjangka akan dapat keputusan sebegini sebab semasa peperiksaan percubaan sebelum ini, saya hanya mendapat 4A,” ujarnya.

Menurut anak sulung daripada tiga adik beradik itu, dia yang tinggal di asrama sekolah,  sering membuat ulang kaji pelajaran secara berkumpulan bersama kawan-kawan dan juga tidur lewat untuk belajar.

“Tapi saya lebih suka menghafal sesuatu pada waktu subuh kerana, pada pendapat saya, ketika itu otak kita mudah menerima pelajaran dan udara pagi juga masih segar,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang pensyarah Matematik.

Sementara itu, ayahnya, Razak Hasan, 48, sememangnya menjangkakan anaknya akan mendapat keputusan yang baik melihat daripada kesungguhan Aidil ketika membuat ulangkaji.

“Tapi adakalanya anak saya ini perlu didesak untuk belajar, walaupun sesekali dengar rungutan, tapi itu perkara biasa sebab dia masih remaja, dia pun tetap akur arahan saya dan ibunya,” kata Razak yang merupakan seorang pembantu makmal.

“Dari pemerhatian saya, cara dia belajar walaupun kelihatan fokus tapi secara santai. Saya ada sediakan meja belajar untuk dia, tapi dia suka ulang kaji sambil baring di lantai, jadi saya tak kisah jika dia lebih selesa begitu,” ujar Razak.

Katanya lagi, dia juga tidak pernah meletakkan sasaran pekerjaan yang bakal dipilih oleh anak-anak, cuma sebagai ibu bapa, dia sering memberikan cadangan berdasarkan minat anak itu sendiri.

c27727c3-0f58-4caf-a3e4-80b077a00ee4

Pengetua, Hatina Yaakob memeluk salah seorang pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam PT3.

 

Dalam pada itu, pengetua SMATP, Hatina Yaakub yang bertugas di sekolah itu sejak tujuh bulan lalu amat berbangga dengan keputusan yang diperoleh oleh seramai 124 pelajar sekolahnya yang menduduki PT3 tahun ini.

“Sekolah menetapkan sasaran, dan kita sasarkan 20 orang untuk mendapat cemerlang. Alhamdulillah, pada kali ini, kita dapat 10A seramai 11 orang dan 11A pula seramai sembilan orang yang pada saya itu sudah mencapai sasaran,” katanya.

 

-AAS/DZ

Tinggalkan komen anda