
Oleh Diyana Zamri
KUALA LUMPUR, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman pada Khamis menerima Anugerah Felo Institut Perhubungan Raya (IPRM).
Ia merupakan pengiktirafan dan penghargaan kepada komitmen yang ditunjukkan beliau dalam bidang perhubungan awam peringkat negara dan antarabangsa.
Anugerah disampaikan oleh bekas Presiden IPRM yang juga mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid.
Tokoh terkemuka lain yang menerima Anugerah Felo, termasuk Naib Presiden IPRM, Jaffri Amin Osman dan Ravindran Raman Kutty.
Seramai empat orang menerima Akreditasi Perhubungan Awam, termasuk Lim Ann Teck, Arthur Ting, Pauzan Abdul Majid dan Lim Kim Wah.
Sementara itu, Ibrahim mengekalkan jawatan sebagai Presiden IPRM untuk kali ketiga berturut-turut pada pemilihan Ahli Majlis IPRM. Beliau mula memegang jawatan tersebut pada 2011.
Acara penganugerahan yang berlangsung di Kelab Diraja Selangor (RSC) Dataran Merdeka itu disusuli majlis meraikan seramai 30 anak yatim dari Darul Kifayah, Batu Caves untuk berbuka puasa. IPRM juga menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada mereka.
IPRM, yang mempunyai lebih 1,000 ahli, ditubuhkan pada 1962 dengan matlamat utama meningkatkan profesionalisme di kalangan pengamal perhubungan awam di Malaysia.
Bagi memenuhi objektif tersebut, IPRM menganjurkan seminar dan latihan untuk ahli dan bukan ahli berdaftar. Selain itu, IPRM juga menjalankan penyelidikan dan menerapkan sesi pendidikan sepanjang hayat bagi memastikan industri perhubungan awam negara sentiasa ke hadapan.