Skip to main content
HomeViral

Utamakan Rakyat dan Alam Sekitar Dahulu – PKPP

By 27 Jun 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Mohd Faris Mohd Fuad

IPOH, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Perak diminta mendahulukan kepentingan kawasan dan penduduk setempat sebelum melaksanakan apa-apa projek berimpak tinggi kepada alam sekitar.

Gesaan dibuat Pertubuhan Kesedaran Pengguna Perak (PENYEDAR) dalam meminta kerajaan negeri menyenaraikan kepentingan utama berhubung Projek Pembangunan Sistem Kereta Kabel Bukit Larut.

Persoalan timbul mengenai Bukit Larut yang merupakan sebuah kawasan tadahan air seluas 21.35 kilometer persegi.

Ia dikhaskan sebagai kawasan tadahan air dan sekiranya berlaku apa-apa gangguan, boleh memberikan kesan buruk kepada sumber bekalan air dan ekosistem persekitaran.

Sebagai contoh, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan PENYEDAR baru-baru ini, pada 5 Jun lalu berlaku hakisan tanah kedua dalam masa beberapa hari menyebabkan tanah runtuh sejauh 2.5 meter sepanjang jalan ke puncak Bukit Larut.

Menurut Pengerusi PENYEDAR, Haji Asmuni Awi, pembinaan sebuah menara komunikasi juga telah menyebabkan limpahan air lumpur  di kawasan tadahan sejak beberapa bulan.

Beliau berkata sekiranya dibiarkan, ia boleh menjejaskan kawasan tadahan air dan seterusnya sumber air minuman  di Utara Perak.

Sehubungan itu, PENYEDAR menggesa kerajaan negeri menghentikan projek berkenaan dan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji  pembangunan projek di Bukit Larut, termasuk rancangan projek kereta kabel.

Haji Asmuni juga menggesa disiasat kelemahan dan sebarang penyelewengan berkaitan projek tersebut bagi menghindari masalah di masa akan datang.

Tinggalkan komen anda