
Laporan dan foto oleh: Ramasamy Amas & Siti Noorezrin Mahmod (Jempol)
BAHAU, 9 Feb (Malaysiaaktif) – Lebih 200 Penunggang motosikal bawah kuasa 150cc berpeluang untuk mengisi minyak secara percuma melalui Program Jom Isi Minyak Percuma, di sini semalam.
Seorang Penunggang motosikal yang ditemui wartawan Malaysiaaktif, Nor Azkin Harun, 34, meluahkan rasa gembira dan terujanya kerana dapat mengisi minyak dengan percuma.
Berkongsi pendapat yang sama, pelajar tingkatan enam, Mohd Norfidaus Mohd, 19, berharap lebih banyak Badan Bukan Kerajan (NGO) tampil kehadapan dan menganjurkan program-program yang dikhaskan kepada golongan sasaran seperti ini pada masa akan datang.
Program anjuran Pergerakan Puteri UMNO Cawangan Batu Kikir dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetanggga (KRT) Batu Kikir dan Peladang Muda unit Batu Kikir ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia yang mula berkumpul di stesen minyak seawal 9.30 pagi.
Menurut Ketua Puteri cawangan Batu Kikir, Aimizatulakmar Mohamad Tharik, program yang julung kali diadakan ini adalah bertujuan untuk merapatkan jurang perhubungan antara pemimpin dengan golongan muda, di samping meringankan beban kewangan ekoran daripada kenaikan harga minyak.
Tambahnya, Puteri UMNO juga bercadang untuk mengadakan Program Mini Karnival seperti acara pertandingan futsal, badminton, sepak takraw dan bola keranjang untuk tujuan mendekati golongan belia.
Sementara itu, Ketua KRT Batu Kikir, Ahfian Mohd Tahir, berkata golongan belia di Batu kikir adalah sukar untuk didekati kerana sibuk dengan urusan masing-masing, di samping kewujudan taman–taman baru yang jauh dengan perkampungan tradisi.
Pada program ini, setiap penunggang motosikal dapat mengisi minyak percuma antara RM5.00 hingga RM7.00 mengikut kapasiti tangki minyak motorsikal masing-masing.
– AH