
Laporan / foto oleh: Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)
KUCHING, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Sempena perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini, seramai 20 murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu 10 Kota Pedawan menerima angpow daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini malam ini.
Menurut murid darjah satu yang ditemui wartawan Malaysiaaktif, Nur Erwiena, dia suka dengan Perdana Menteri kerana memberi angpow kepadanya dan rakan-rakan.
Tambah Erwiena, duit yang diterimanya akan simpan sebagai kenangan kerana menjadi salah seorang murid yang bertuah pada tahun ini.
Seorang lagi penerima angpow daripada darjah enam, Flundash Douglas memberitahu ini merupakan pengalaman hidup yang tidak dapat dilupakan.
“Pada mulanya memang sangat gembira kerana dipilih untuk menerima angpow yang diserahkan oleh Perdana Menteri sehingga saya rasa tidak dapat tidur, apatah lagi dapat bersalaman di atas pentas depan orang ramai.
“Saya sangat teruja untuk tengok Perdana Menteri kita yang sangat popular disebut-sebut oleh orang ramai, saya cuma selalu tengok gambar di dinding sahaja sebelum ini,” katanya.

Murid-murid SJK Chung Hua Batu 10 Kota Padawan menerima angpow Tahun Baru Cina daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Majlis Ramah Tamah Tahun Baru Cina 2017 ini disambut meriah dengan kehadiran kira-kira enam ribu tetamu.
Sementara itu, guru pengiring, Lee Lay Ling memberitahu, murid-murid darjah satu hingga darjah enam yang terpilih itu, terdiri daripada pelbagai kaum iaitu 11 Cina, tujuh Bumiputera Sarawak dan dua Melayu.
“Saya sangat gembira dan terharu kerana murid-murid kami diberi peluang untuk menerima angpow pada tahun ini dan yang memberinya ialah Perdana Menteri, alangkah seronok sekali murid-murid kami,” jelasnya.

Guru pengiring SJK Chung Hua Batu 10 Kota Pedawan, Lee Lay Ling, bergambar bersama dengan murid-muridnya.
Majlis yang diakhiri dengan upacara “Lao Shang” oleh tetamu terhormat ini turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg dan Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian.