
Oleh: Faris Fuad
KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Malaysiaaktif) – Penstrukturan dan pembinaan kemudahan baharu di Kompleks Bukit Jalil menjelang penganjuran Sukan SEA 2017 akan membabitkan kos sebanyak RM1 bilion.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan pelaksanaan projek tersebut akan dibahagikan kepada dua fasa, iaitu sebelum dan selepas penganjuran temasya tahunan berkenaan.
“Ia membabitkan dua fasa merangkumi pembinaan kemudahan baharu dan kerja naik taraf untuk stadium sedia ada” katanya dalam sidang media di Majlis Hari Raya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Stadium Putra hari ini
“Kita akan bina sebuah pusat konvensyen tertutup yang baharu sebab satu stadium tertutup tidak cukup. Ia akan dibina di tapak letak kereta di depan stadium utama.”
Dalam pada itu, Khairy turut menjelaskan penggunaan dana yang agak banyak itu bukan hanya untuk memberi keselesaan kepada atlet tetapi bagi menjana pendapatan Perbadanan Stadium Malaysia.