Skip to main content
EkonomiHomeViral

Tol Percuma Di LDP Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-58

By 10 Ogos 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Malaysiaaktif) — Kira-kira setengah juta pengguna Lebuhraya Damansara- Puchong (LDP) akan dapat menggunakan laluan tersebut dengan percuma sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-58 nanti.

Syarikat LITRAK yang mengendalikan lebuhraya tersebut berkata tol percuma bermula 12 tengah malam sehingga pukul 11.59 malam pada 31 Ogos.

Pada waktu yang sama ” Diskaun Tol” sebanyak 20 sen turut diberikan kepada pengguna Lebuhraya SPRINT.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata 417 ribu pengguna dijangka akan menikmati tol percuma di LDP membabitkan jumlah subsidi kira-kira RM665.

Sementara itu, dianggarkan 172 ribu pengguna di Lebuhraya SPRINT dijangka menikmati diskaun 20 sen dengan jumlah subsidi sebanyak RM35 ribu.

Fadillah memberitahu pemberita demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Jalinan Aidilfitri anjuran Kumpulan Litrak di Bandar Sunway pada Isnin.

Inisiatif pemberian tol percuma dan diskaun tol dimulakan sejak 2010 oleh Kumpulan Litrak sebagai salah satu usaha menyahut hasrat Kerajaan dalam meraikan sambutan Hari Kemerdekaan, secara tidak langsung menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Lebuhraya SPRINT dan LDP turut menawarkan diskaun tol pada musim – musim perayaan utama, termasuk Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan juga Krismas.

Menurut Kumpulan Litrak, dari 2010 hingga 2014 jumlah diskaun tol yang diberikan adalah sebanyak 6.97 juta ringgit untuk 11.66 juta pengguna Lebuhraya Sprint dan LDP.

Tinggalkan komen anda