
Oleh: Faris Fuad
PUTRAJAYA, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa bimbang terhadap peningkatan warga asing dalam negara.
Beliau berpendapat ia berlaku ekoran rakyat tempatan yang terlalu memilih pekerjaan.
“Kita melihat pekerja asing lebih ramai kerana rakyat Malaysia kurang minat di dalam kerja yang melibatkan 3D , difficult , dangerous dan dirty,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pagi tadi.
“Di luar 3D ada di kalangan rakyat kita yang tidak mahu bekerja, saya khuatir Malaysia akan menjadi negara di mana pekerja asing lebih ramai daripada penduduk sebenar, saya amat khuatir.”
“Disebabkan ekonomi, produksi dalam pelbagai sektor memerlukan pekerja, pelabur asing dalam bentuk lain perlukan pekerja, tetapi kerana sikap terlalu memilih kita terpaksa mengimport pekerja asing , walaupun banyak risiko.”
Zahid berkata keadaan sedemikian adalah tanggungjawab KDN dan Kementerian Sumber Manusia.
“Kita tidak mahu negara dijadikan tempat lambakan pekerja asing yang akan mengundang kepincangan dan permasalahan sosial,” tambah beliau.
Sebelum ini, kira-kira 1.5 juta pekerja dari Bangladesh dilaporkan akan dibawa masuk ke Malaysia secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor, terutama perladangan, pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan.