Skip to main content
HomeViral

E-mel Palsu, Lucah: Lelaki Didenda RM28,000

By 11 Ogos 2015Ogos 12th, 2015Tiada komen1 minit bacaan
Oleh  : Pradeeb Kumar Velayutham

PETALING JAYA, 11 Ogos 2015  (MalaysiaAktif) –  Mahkamah Sesyen Petaling Jaya  menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM28,000 terhadap seorang pengatur cara komputer kerana menghantar kandungan palsu dan lucah menerusi e-mel serta laman sesawang  menggunakan identiti mangsanya.

Tertuduh, Hoo Wai Men, 39, didakwa atas dua pertuduhan kerana  menghantar dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu dan lucah sifatnya, masing- masing pada 23 April 2009 dan 15 Oktober 2009.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd Salleh di hadapan  Hakim  Mahkamah Seksyen Petaling Jaya, Tuan Abu Bakar bin Manat ke atas tertuduh di bawah Seksyen  233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan, tertuduh mengaku salah terhadap kedua- dua pertuduhan.

Bagaimanapun, selepas mendengar rayuan oleh tertuduh, pihak Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM13,000 bagi pertuduhan pertama, manakala RM15,000 untuk  pertuduhan kedua.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan kepada para pengguna, Internet mahupun aplikasi siber supaya mengamalkan kawal selia kendiri ketika menggunakan kemudahan tersebut. Penggunaan kemudahan tersebut haruslah untuk tujuan yang positif sahaja.

Perbuatan menghantar kandungan palsu dan lucah melalui e- mel dan laman sesawang  adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang  memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Tinggalkan komen anda