Skip to main content
HomeViral

Cubaan Seludup Dadah: Suami Isteri Warga India Ditahan

By 11 Ogos 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

SEPANG, 11 Ogos (Malaysiaaktif) — Sepasang suami isteri warga India yang kerap mengunjungi Malaysia sejak dua tahun lepas mencetuskan kecurigaan dan akhirnya mereka ditangkap kerana menyeludup dadah.

Kedua suspek ditahan Sabtu lepas sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan penemuan lebih 10 kilogram methamphetamine bernilai hampir dua juta ringgit dalam dua bagasi.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, menurut rekod, suami berusia 42 tahun itu telah memasuki negara ini hampir 20 kali, manakala isterinya yang berusia 34 tahun sebanyak 9 kali.

Mereka keluar masuk negara ini di atas alasan menguruskan perniagaan tekstil.

Chik Omar berkata, pada hari yang sama kastam turut menahan seorang wanita warganegara  India.

Suspek warga emas berusia 52 tahun itu tiba dengan penerbangan dari Chennai dan seterusnya ditahan kerana terdapat imej mencurigakan pada bagasi yang diimbas.

Dadah Methamphetamine lebih 5 kilogram bernilai hampir sejuta ringgit ditemui dalam ruangan khas pada bagasi.

Suspek telah mengunjungi Malaysia sebanyak 4 kali.

Chik Omar tidak menolak kemungkinan dadah yang dibawa itu untuk pasaran tempatan, selain bakal diedarkan ke negara jiran.

Kesemua suspek di reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika didapati bersalah.

 

Tinggalkan komen anda