
Laporan oleh : Imran Sedi
LANGKAWI, 9 Sept (Malaysiaaktif) – Batik Langkawi mempunyai corak dan warna yang unik berbanding batik yang lain. Warna-warna yang diambil dari warna tumbuh-tumbuhan seperti buah pinang, pokok pandan dan lain-lain menambahkan lagi seri warna batik Langkawi.
Pelancong yang ingin melihat sendiri keunikan batik Langkawi boleh lah ke Kompleks Kraf Langkawi yang terletak di Jalan Teluk Yu, Mukim Bohor.
Kompleks Kraf juga mempamerkan serta menjual pelbagai jenis kraftangan yang ada di Malaysia khususnya hasil produk Langkawi.
Pengarah Kompleks Kraf Langkawi, Rosman Manan berkata, “Kompleks Kraf Langkawi ini menjadi tempat untuk kita kumpul semua produk kraf di Malaysia, tetapi kita lebih mengutamakan produk-produk dari Langkawi sendiri.”
“Kita juga mempamerkan dan menjual pelbagai jenis produk kraf seperti batik, seramik, kristal dan lain-lain”, ujarnya lagi ketika menyambut kedatangan peserta konvoi Kembara Media 2018 yang disertai para pengamal media cetak, media elektronik dan media online seramai 21 orang daripada 15 agensi media seluruh Malaysia.
Para peserta dibawa melihat sendiri hasil-hasil kraftangan penduduk-penduduk Langkawi yang mempunyai banyak keunikannya yang tersendiri. Beliau berharap usaha-usaha memartabatkan hasil kraf tempatan dapat diteruskan oleh kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri.