Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Program mQuit: Penyertaan Meningkat 100 Peratus

By 8 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 8 Apr (Malaysiaaktif) – Penyertaan orang ramai mendapatkan Perkhidmatan mQuit anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk berhenti merokok meningkat 100 peratus sejak ia dilancarkan pada 2017.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, pada tahun 2018 seramai 20,032 orang menyertainya berbanding tahun 2017 seramai 10,240.

“Sehingga kini hampir 17,000 telah berjaya berhenti merokok melalui program inisiatif KKM dengan kerjasama beberapa universiti tempatan, organisasi bukan kerajaan dan pihak swasta.

“KKM menyediakan 731 klinik kesihatan dan 46 buah hospital di seluruh negara yang memberikan perkhidmatan pakar-pakar dan ubat secara percuma untuk orang ramai berhenti merokok,” katanya.

Dr Boon Chye turut menjelaskan sebanyak 22,767 notis amaran telah dikeluarkan kepada restoran kerana gagal mempamerkan papan tanda larangan merokok di premis mereka bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini.

“Setakat ini belum ada saman dikeluarkan tetapi ianya notis amaran. Saman kepada perokok dan premis yang degil akan dilaksanakan bulan Julai nanti.

“Memang ada perubahan sikap ditunjukkan perokok sejak kempen ini bermula Januari lalu dan aktiviti pendidikan akan terus dipertingkatkan,” jelasnya.

Mengenai cadangan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) agar menguatkuasakan larangan merokok di dalam kenderaan, Timbalan Menteri berkata kereta adalah kawasan persendirian dan ia adalah tanggungjawab individu tersebut.

“Larangan merokok di dalam kenderaan awam telah dikuatkuasakan namun kenderaan persendirian adalah kawasan persendirian. Kita tidak boleh ganggu.

“Ibu bapa yang memandu kereta tidak sepatutnya merokok, mereka patut menjaga kesihatan anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan program ‘Let’s Go Green’ anjuran Yayasan Paru-paru Malaysia (LFM) di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong di sini hari ini.

Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai kepentingan menghijaukan bumi bagi menjamin udara bersih untuk kesihatan dan kehidupan manusia.

Turut hadir, Pengerusi LFM, Datuk Dr Zainudin Md Zin; Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abdul Latif Mohmod, kanak-kanak Kelab Asma Selangor dan Wilayah Persekutuan serta pelajar-pelajar Kolej Universiti Lincoln.

-NAZ

Tinggalkan komen anda