
Oleh: Faris Fuad
JOHOR BAHARU, 11 Sept (Malaysiaaktif) – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berpendapat pencapaian pensyarah tempatan di luar negara menunjukkan peningkatan kualiti pendidikan negara
Beliau berkata ia jelas dapat dilihat berdasarkan jurnal mereka yang selalu dirujuk pesyarah luar.
“Sebanyak 14 jurnal pensyarah tempatan antara jurnal yang kerap dirujuk dan disenaraikan dalam ‘1 percent Top Cited Journal in the World’ oleh Thomson Reuters,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis penutupan Konvensyen Pentadbir 2015 anjuran Universiti Teknologi Malaysia di Johor semalam.
“Saya berani kata itu antara bukti kualiti pendidikan negara kita semakin meningkat.”
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa jurnal yang sering dirujuk adalah dalam bidang kejuruteraan dan tenaga bahan api.
Idris berkata ia menunjukkan pensyarah luar memberi kepercayaan kepada hasil kerja tenaga pengajar di negara ini.
“Perkara seperti ini akan meningkatkan ranking universiti, subjek, akademik dan sebagainya,” kata beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyarankan pihak universiti awam untuk mengambil inisiatif mendapatkan dana dan tidak hanya berharap kepada bantuan kerajaan.
Menurutnya, pengurusan dana adalah penting dalam membantu menerajui kualiti pendidikan di setiap universiti.
Setakat ini seramai 537 pensyarah yang berkhidmat di universiti awam negara ini berkelulusan Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah daripada 20 universiti terkemuka dunia termasuk Universiti Cambridge dan Universiti Oxford.