
Oleh : Suriani Ghazali (Perak)
SERI ISKANDAR, 11 Sept (Malaysiaaktif) — Lima kumpulan pertama berentap bagi merebut tempat ke pusingan akhir Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Separuh Akhir Pertama semalam di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini.
Kumpulan yang masing-masing dari negeri Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka itu akan beradu nasib pada 13 September.
Seramai kira-kira 600 orang terdiri daripada ketua-ketua jabatan peringkat daerah, pemimpin masyarakat, pelajar IKBN dan ahli Komuniti 1Malaysia turut memeriahkan majlis.
Seorang penonton yang ditemubual, Nurul Azrina Mohd Yazid, guru di SMK Dato Bendahara CM Yusuf Tanjung berpendapat program ini menarik, namun publisiti dirasakan kurang menyeluruh.
Bagi Pegawai KEMAS Daerah Manjung, Jamaayah Halim pula, program ini amat menarik dan bermakna kerana dapat mengimbau kembali jasa para pemimpin negara yang menurut beliau semakin dilupakan oleh generasi muda sekarang.