
Laporan/foto: Pai Syahira
KUANTAN, 22 Mei (Malaysiaaktif) – Kemangkatan tuanku pada Hari Nuzul Quran, disambut dengan hujan rahmat seakan bumi Pahang turut menangisi pemergian baginda disambut 500 orang di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Batu 10, Kuantan.
Jenazah kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah selamat mendarat di Pengkalan Udara tepat jam 7.17 minit malam dengan penuh istiadat oleh 113 anggota Kawalan Kehormatan Utama TUDM.
Pesawat A400M berlepas dari Pengkalan Udara Subang membawa jenazah dengan diiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agung Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandiariah Almarhum Al- Mutawakkil Sultan Iskandar Al-Haj.
Istiadat Menyambut Ketibaan Jenazah dimulai hormat diraja, tafakur dan upacara junam senjata diakhiri dengan gema Lagu Negeri Pahang.
Kemudian, kumpulan pengusung dan kenderaan jenazah mengambil peranan diketuai oleh Pegawai Istiadat TUDM Mejar Syukri dan jejawat mengusung jenazah ke dalam van.
Sejurus itu, jenazah terus dibawa ke Istana Abu Bakar, Pekan dengan diiringi kenderaan khas dan rakyat jelata boleh mula memberi penghormatan terakhir kepada jenazah almarhum tuanku di Balairung Seri bermula 9.00 malam ini sehingga 11.00 pagi esok.
Jenazah almarhum Paduka Ayahanda akan disembahyangkan di Masjid Sultan Ahmad dan akan dikebumikan di Makam Diraja Pekan selepas solat zohor dan akan dikebumikan di Makam Diraja Pekan.
Terdahulu istiadat upacara siap siaga, dan pengistiharan kemangkatan telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.
Berikutan kemangkatan tuanku, Negeri Pahang berkabung selama 40 hari bagi rakyat jelata manakala 100 hari bagi Ahli Jumaah Pangkuan dan kerabat diraja serta cuti umum pada 23 Mei 2019
Dalam pada itu, bendera separuh tiang dikibarkan sekurang-kurangnya tiga hari di seluruh negeri Pahang bermula hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli Jumaah Pangkuan Diraja, Sahibus Samahah, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman, kerabat diraja dan para pemimpin negeri.
EM