
Laporan /foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 11 Julai (Malaysiaaktif) – Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah memberi perkenan atas perlantikan Datuk Dr Mohd Daud Bakar sebagai Presiden UIAM yang kelapan selama tiga tahun berkuatkuasa 1 Julai yang lalu.
Pegawai Perhubungan Media UIAM, Roslan Rusly berkata Dr Mohd Daud mempunyai pengalaman yang luas mengenai persekitaran university itu memandangkan beliau pernah menjadi pensyarah dan pernah dilantik Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) dari tahun 2002 hingga 2005.
“Beliau adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan banyak menganggotai Badan Penasihat Syariah institusi kewangan Islam di dalam serta luar negara.
“Pada 2014, Dr Mohd Daud dianugerahkan gelaran Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul oleh Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Roslan, Dr Mohd Daud menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Korok Baru, Alor Star, Kedah pada 1970 sehingga 1976, Maktab Mahmud (1977-1979) dan Kolej Islam Klang (1980- 1983).
“Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Syariah di University of Kuwait (1983-1988) sebelum menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) dari University of St Andrews, United Kingdom (1990-1993).
“Beliau turut memperoleh Ijazah Sarjana Muda Jurisprudens di Universiti Malaya, Kuala Lumpur (1996-2002) dan aktif serta menjadi antara pendokong terbilang kewangan Islam sepanjang dua dekad dan hinggalah ke hari ini,” katanya.
Tambah Roslan, melalui perlantikan ini, UIAM berharap beliau boleh memberi khidmat nasihat dalam pembangunan UIAM ke arah menjadikan Universiti ini dihormati oleh masyarakat dalam negara dan antarabangsa.
“Jawatankuasa Pengurusan Universiti (UMC), kakitangan akademik dan pentadbiran serta seluruh pelajar UIAM mengucapkan setinggi tinggi tahniah kepada Datuk Dr Mohd Daud Bakar atas perlantikan sebagai Presiden UIAM yang baharu.
“Pihak universiti juga menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada Dr Maszlee Malik atas sumbangan dan jasa beliau kepada UIAM ketika menerajui UIAM sebagai Presiden ketujuh yang lalu,” katanya.
-NAZ