
Laporan/foto: Hazlinah Samsir/ Vicky S. Matanjang (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 12 orang ahli Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) mengangkat sumpah di hadapan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Rabu.
Shafie berkata, MPWS penting dalam menyampaikan suara dan keperluan wanita di negeri ini.
“Kita perlu mengiktiraf fungsi dan peranan yang dilaksanakan golongan wanita dalam membantu kita mentadbir kerajaan.
“Wanita mempunyai komitmen yang tinggi dalam institusi kekeluargaan dan pembangunan masyarakat.
“Selain itu, mereka mudah mendekati masyarakat kerana dapat menghayati dan memahami keperluan wanita dan kita juga memerlukan mereka untuk mendapatkan maklumat bagi menggubal polisi dalam pentadbiran kerajaan khususnya berkenaan wanita,” katanya selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli MPWS 2019-2020, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Dalam pada itu, Shafie menjelaskan pentadbiran kerajaan Sabah kini telah mencapai kuota 30 peratus ahli wanita dalam pembuat keputusan tertinggi.
“Pertama kali kita mempunyai empat orang setiausaha tetap dari golongan wanita. Ini menunjukkan peranan wanita dalam pentadbiran kerajaan tidak boleh dipandang rendah kerana mereka yang dilantik bukan atas sebab jantina sahaja, tetapi atas kemahiran, kepakaran dan berkaliber ,” katanya lagi.
Dalam majlis itu, Datuk Noni Mohd Said mengangkat sumpah semula sebagai pengerusi MPWS yang baharu manakala Baiyah Ag Mahmon sebagai timbalannya.
Turut mengangkat sumpah adalah Setiausaha Politik bagi Kementerian Belia dan Sukan, Henry Shim Chee On dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Mistirine Radin.
ER