
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 13 Dis (Malaysiaaktif) – Program Jiwa Murni anjuran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengeratkan silaturahim antara anggota TLDM dan komuniti kampung di Labuan.
Menurut Pegawai Tadbir TLDM Pangkalan Labuan Lt Dya Mohd Amirul Fadly Jaunidi, program itu berjaya mengeratkan silaturahim serta interaksi antara warga Unit Pengawasan Senggara TLDM Timur dan PSTL Labuan dengan masyarakat setempat.
“Selain itu, program ini bertujuan memupuk sikap prihatin warga TLDM Pangkalan Labuan terhadap aktiviti kemasyarakatan serta aktiviti komuniti serta memberi peluang kepada warga TLDM mencari pengalaman dan mempertingkatkan daya kepimpinan serta jati diri anggota,” katanya yang ditemui semasa Program Jiwa Murni Gotong-Royong Membersihkan Tanah Perkuburan Islam Tanjung Pangkalan Merabau, di sini semalam.
Menurut Amirul, program yang melibatkan 21 orang warga TLDM Pangkalan Labuan itu merupakan penganjuran kali ketiga diadakan.
“Pendekatan kali ini adalah sama dengan penganjuran sebelum ini iaitu untuk berinteraksi dengan masyarakat setempat namun program yang dianjurkan adalah berbeza-beza seperti pembersihan di sekitar pantai Tanjung Purun dan mengubah suai landskap taman Sekolah Kebangsaan Membedai Pangkalan Tentera Udara Labuan.
“Penduduk setempat memberikan maklum balas yang positif dan memberikan kerjasama serta berharap agar program ini tidak terhenti setakat ini,” katanya lagi.
Tambahnya, TLDM akan melaksanakan program seperti ini setiap suku tahun dan mengharapkan kerjasama daripada penduduk setempat agar dapat menjayakan program kemasyarakatan pada masa akan datang.
Hadir sama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Bangat Osman Dullah dan Pengerusi Surau Al Mubarakah Kampung Sungai Bangat Ismail Mohamad.
-SH