Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

PerKISS Didik Amalan Kitar Semula Di Sekolah

By 17 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:  Shahqrul Azim Shaari/Nurulaini Mohd Kasran (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 17 Feb ( Malaysiaaktif) – Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan (PerKISS) 2020 merupakan sebuah pertandingan yang menilai tahap pembudayaan amalan reduce, reuse, recycle (3R) di sekolah.

Menurut Guru Besar SK Sungai Telor Juraimi Mohd Said, sekolah ini telah menyertai pertandingan ini buat julung kalinya pada tahun 2019 dan berjaya dinobat sebagai pemenang tempat pertama peringkat Negeri Johor.

“Saya melihat impak dari penyertaan kami dalam Pertandingan PerKISS 2019 telah berjaya menjadikan kitar semula sebagai satu amalan di sekolah di mana pihak kami telah melancarkan gerak gempur PerKISS 2020 bagi meningkatkan amalan 3R di kalangan warga sekolah selain mempertahankan kejuaraan yang telah dimenangi pada tahun lalu,” katanya.

Ginny, Piffy dan Tinny, skuad 3R SK Sungai Telor.

Ginny, Piffy dan Tinny, skuad 3R SK Sungai Telor.

Tambah beliau, pertandingan anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia ini turut mengambil kira aspek pengumpulan barangan kitar semula, aktiviti kelab yang berkisar mengenai 3R dan penjagaan alam sekitar serta inovasi terhadap barangan kitar semula dalam kalangan warga sekolah.

Pelbagai program akan dijalankan oleh pihak sekolah seperti kebun sayur 3R, bank kitar semula, hari tanpa plastik, ceramah kesedaran 3R, pusat baja kompos, pertandingan pengumpulan bahan kitar semula tertinggi dan pertandingan merekacipta bahan kitar semula antara kelas.

Sementara itu, seorang guru yang ditemui, Azlinda Norudin, berkata SK Sungai Telor turut mempunyai skuad 3R yang diwujudkan bagi menjalankan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, kitar semula dan kemasyarakatan.

Antara tetamu yang turut hadir memeriahkan program.

Antara tetamu yang turut hadir memeriahkan program.

”Skuad 3R ini diberi nama Ginny, Piffy dan Tinny yang dipimpin oleh dua orang guru dan para pelajar sebagai nadi penggerak aktiviti serta promosi kepada warga sekolah,” ujarnya lagi.

Program gerak gempur ini telah dirasmikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Kota Tinggi Norasilah Ibrahim dan turut dihadiri, Pegawai SWCorp Kota Tinggi Khairul Anuar Che Ait.

-NI-

Tinggalkan komen anda